Blogger Templates

03 March 2011

Sejambak bunga, sebentuk cincin.

Fitrah seorang perempuan, senang dimanjakan dengan suasana romantis oleh insan tersayang.  Walaupun dirinya bukan seorang yang romantis, tetapi tetap teruja apabila menerima pemberian sejambak bunga oleh insan tersayang. Dan menjadi kelaziman, sejambak bunga itu melambangkan kasih sayang yang tiada taranya buat pasangan hidup.  Namun adakah itu hakikat sebenarnya?  Sebentuk cincin yang disarungkan tanda ikatan dua hati melambangkan keutuhan cinta sejati.  Adakah itu ukurannya?
Mungkin begitulah cara pasangan menzahirkan cinta di hati.  Tetapi bagaimana pula bagi suami yang tidak romantik?

Bila mula bercakap isu ini, saya cuba merenung kembali realiti sebenar kehidupan.  Tidak dinafikan, sebagai seorang isteri, mengimpikan suasana alam rumah tangga yang serba romantis.  Mendapat hadiah pada setiap kali ulang tahun kelahiran atau perkahwinan.  Menerima pujian yang menggunung tinggi.  Ucapan sayang yang sentiasa meniti di bibir.  Dimanjakan dengan kasih sayang dan juga kebendaan.  Tapi sebaliknya, hati sentiasa terguris.  Nak merajuk pun, kata orang buang masa aje.  Bukannya nak pujuk, buat tak tahu lagi ade...

Tetapi bila difikirkan kembali.  Mungkin lebih baik begitu!!!  Sekurang-kurangnya, ekor matanya tidak melirik pada yang lain..... Pandangannya tidak jatuh pada si dahi licin di luar sana, tiada nombor wanita lain di dalam phonebooknya.  Tak ade mesej-mesej atau panggilan misteri dari insan yang mungkin kekasih gelapnya. Dan yang penting di dalam hatinya, hanya kita lah ratu.....

Apatah lagi bila mengimbau kembali pada pengorban yang telah dilakukan.  Menguruskan rumah tangga, anak-anak dan juga keluarga.  Di saat kesedihan melanda jiwa, bahunya sentiasa ada untuk dititiskan air mata.  Ketika kesakitan menjalari seluruh tubuh, tangan kasarnya yang membelai meringankan derita.  Apatah lagi ketika di landa gelombang masalah, dia lah pendengar setia dan sentiasa menyokong dari belakang.  Tatkala jatuh tersungkur, hilang arah dan tujuan, dialah yang menghulurkan tangan, menarik kita supaya bangun dan memimpin untuk terus melangkah.... Dan dia sentiasa ada, pada bila-bila masa sahaja kita memerlukannya.....

Lalu, apakah lagi yang seorang isteri perlukan.  Sejambak bunga, sebentuk cincin hanyalah sekadar penyeri kehidupan.....

1 comment:

  1. Tidak dinafikan... setiap wanita mempunyai keinginan untuk dibelai dan dimanja. Pemberian sejambak bunga bukan lah pengukur kebahagian sesuatu rumah tangga. Biarlah suami kita tidak romantis. Itu lebih baik daripada kita makan hati dgn sifat suami yg terlalu romantis bukan sekadar dgn isteri tetapi juga dgn wanita lain. Menerima seadanya itulah yg terbaik

    ReplyDelete

Pelaksanaan SBPA