Blogger Templates

30 January 2011

Negaraku

Semangat patriotisma yang semakin tipis!

Hari ini Ahad.  Seperti biasa ada perhimpunan khas.  Macam biasa juga dimulai dengan bacaan doa dan diikuti dengan nyanyian lagu "Negeraku".

Negaraku,
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup, bersatu dan maju,
Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan,
Raja kita, selamat bertakhta,

Rahmat Bahagia, Tuhan kurniakan,
Raja kita, selamat bertakhta.

Oleh kerana saya berdiri di hadapan, menghadap pelajar, saya dapat melihat tingkah laku dan juga pergerakan mereka dengan jelas.  Terus kenangan terimbau di zaman persekolahan dulu.

"Bila nyanyi lagu negaraku, kena berdiri tegak-tegak.  Tak boleh dok senget-senget. 
Tangan lurus di sisi.  Mata tengok bendera.  Nyanyi kuat-kuat.  
Buka mulut luas-luas.  Bukan ada mas dalam mulut."

Itulah antara ayat-ayat keramat yang dilemparkan oleh guru bertugas.  Dan kami semua pun patuh pada tegurannya.  

"Nyanyi lagu negaraku kena bersemangat.  Kena hormat.  Baru tandanya 
sayang kat negara kita."

Kata-kata itu menyerap ke dalam jiwa kami.  Hasilnya, kami nyanyi dengan bersungguh-sungguh dan lantang.

Tapi kini, suasana sungguh berbeza.  Murid-murid nyanyi sambil lewa.  Pusing kira-kanan.  Tergaru sana sini. Yang kaki bangau pun ada.  Suara tak payah cakap lah.  Serak-serak basah bagun tidur, sampai tak terkeluar.  Yang dengar muzik aje.  Kami dulu nyanyi tak de muzik pun tapi suara kuat juga. Bukan tak ditegur oleh guru-guru, tapi impaknya kurang berkesan.  

Fikiran terus berputar ligat.  Teringat pada senario di luar yang pernah dilihat.  Bila ada majlis-majlis rasmi, di mana lagu Negaraku dinyanyikan.  Hanya jemputan VIP dan juga pegawai yang terlibat sahaja berdiri tegak.  Hadirin lainnya, serba endah tak endah.

Itu belum lagi suasana di padang atau di gelanggang sewaktu memenangi perlawanan dan sebagainya.  Apabila pingat disampaikan, sebagai tanda penghormatan, lagu Negaraku berkumandang. Pegawai bertugas, jemputan kehormat, pemain individu tertentu sahaja yang berdiri tegak turut sama menyanyi.  Tapi para penyokong yang masih teruja dek kemenangan pasukan atau pemain kesayangan mereka, bukan sahaja tidak menghayati lagu tersebut.  Malah ramai yang terkinja-kinja melompat-lompat, bertepuk sorak mengiringi lagu tersebut.  

Begitulah juga keadaannya, apabila setiap tahun kita menyambut Hari Kebangsaan.  Hanya mereka yang terlibat dengan acara sambutan tersebut sahaja yang cuba untuk menghormati lagu ini semasa ia berkumandang.  Bagaimana pula keadaannya para pengunjung yang berpusu-pusu datang untuk menyaksikan sambutan tersebut?  Tidakkah tersentuh di jiwa mereka untuk merasa bangga dan seterusnya menghormati lagu ini untuk lebih menghayati kemerdekaan yang dikecapi?  Jelas sekali masyarakat kini sudah tidak endah pada nilai patriotisma dan cintakan negara.  Tiada rasa hormat yang dizahirkan walaupun semudah menghormati lagu Negaraku.  Keadaan inilah yang telah menular ke sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi.  Menagapa ia berlaku?  Adakah kerana kita terlalu selesa mengecapi kenikmatan daripada keamanan dan kemakmuran sebuah negara yang merdeka sehingga kita lupa untuk terus kekal merdeka dan merasa bangga menjadi Anak Malaysia.

Perlukah ada pihak yang memandang serius dan memainkan peranan dalam perkara ini?



No comments:

Post a Comment

Pelaksanaan SBPA